Refresher Course - Cyberkids Entrepreneurship Programme
16 Mac 2015 | Aktiviti Terkini
Pusat Ekonomi Digital Malaysia Linggi telah mengadakan satu kursus yang dipanggil 'Refresher Course – Cyberkids Entrepreneurship Programme. Beberapa orang bekas peserta yang terdiri daripada usahawan-usahawan yang pernah mengikuti program Cyberkids Entrepreneurship yang telah dijalankan di PI Linggi bulan November tahun lalu, dijemput untuk menghadiri program selama 2 hari ini dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Seramai 5 orang peserta telah terpilih, mereka dinilai berdasarkan potensi dan prestasi perniagaan atas talian mereka yang semakin berkembang semenjak mereka mengikuti program tersebut. Hari pertama iaitu 13 Mac 2015, Encik Sam Suresh (Joomla Malaysia Coordinator) selaku tenaga pengajar, membuat ulangkaji mengenai - Pembangunan Blog Perniagaan. Hari kedua pula, peserta diajar tentang Strategi Pemasaran Bagi Perniagaan Atas Talian. PI Linggi dengan sukacitanya telah menjemput kesemua 5 orang usahawan ini untuk hadir ke Majlis Perasmian PI Linggi oleh Menteri Besar Negeri Sembilan YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan yang berlansung esoknya iaitu pada 15 Mac 2015 (Ahad). Mereka turut diberi kesempatan untuk memperkenalkan Blog Perniagaan mereka kepada Menteri Besar. Selain sebagai 'testimoni' kepada PI, usahawan ini turut dianggap sebagai Duta Kecil Pelancongan bagi Linggi. Mereka yang terdiri daripada Usahawan Batik Lukisan Tangan, Usahawan Homestay, Usahawan Agro Tani & Usahawan Produk Tenusu ini bukan saja boleh menjual produk-produk mereka di internet, malah turut bertindak memperkenalkan Linggi kepada pelancong luar. Bukan saja ianya akan menarik minat pelancong luar untuk datang ke Linggi, malah secara tidak lansung dapat membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka dan juga penduduk setempat yang lain.